SEJARAH SK PARIT KASAN
Sekolah
ini mula dibina pada tahun 1954 hasil dari sumbangan orang kampung yang sedar
akan kepentingan sekolah kepada masyarakat. Hasil dari sumbangan yang berbentuk
wang ringgit, bahan binaan dan juga tenaga, sebuah bangunan kayu beratapkan
zink telah dapat didirikan dengan cara bergotong royong.
Tidak lama selepas itu
kerajaan telah memberikan bantuan sejumlah RM1,960.00 dan hasilnya sebuah
bangunan berukuran 70 kaki panjang dan 20 kaki lebar telah dapat disiapkan dan
telah di rasmikan oleh Nazir Sekolah -Sekolah Melayu Muar pada 11 Januari 1955
dan sekolah ini telah dinamakan sebagai Sekolah Rakyat Parit Kasan dengan
jumlah muridnya seramai 150 orang dan tenaga pengajar seramai 6 orang.
Malangnya pada 1 April 1955 sekolah ini telah roboh kerana ditiup angin ribut.
Bagaimanapun pengajaran dan pembelajaran tetap dijalankan di pondok-pondok yang
dibina oleh orang kampong secara bergotong royong dengan bahan-bahan dari kayu
gelam, buluh dan atap rembia yang didapati di sekeliling kampung. Dan pada 14
Ogos 1955 kerajaan telah membina semula sebuah bangunan baru. Bangunan baru ini
telah di resmikan oleh En. Khalid Bin Hj. Ahmad selaku Guru Pelawat
Sekolah-sekolah Pasukan Serom, Muar. Pada Tahun 1960 sekolah ini telah mendapat
bantuan untuk pemasangan siling dan jaring besi.
Setahun kemudian sekolah ini telah diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan dan
diberikan taraf sekolah bantuan penuh kerajaan. Pada tahun 1963 sebuah bangunan
yeng mengandungi 3 buah bilik darjah dan sebuah pejabat telah dibangunkan.
Bangunan itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar ketika itu iaitu YAB
Allahyarhan Dato' Haji Hasan Bin Yunos. Tidak lama selepas itu Ahli Parlimen
kawasa Ledang YB Dato' Ngah Bin Abd. Rahman telah memberikan peruntukan
sejumlah RM2,500.00 bagi pembesaran perpustakaan dan pemasangan elektrik.
Pada tahun
1980, Kementerian Pendidikan telah memperuntukan sejumlah RM15,000.00 bagi
pembinaan 3 buah tandas guru dan 4 buah tandas murid beserta 8 sinki basuh
tangan. Di masa yang sama YB En. Embong Bin Yahya telah memberikan peruntukan
untuk pembesaran perpustakaan kepada 40 kaki lebar dan 16 kaki panjang.
Pada tahun
1988, sekolah ini sekali lagi telah mendapat peruntukan sejumlah RM350,000.00
dan hasilnya sebuah bangunan 2 tingkat terdiri dari 3 buah bilik darjah,
sebuah bilik solat, bilik wuduk, tandas murid, pejabat, bilik guru,
perpustakaan bilik tayangan dan tandas guru telah disiapkan.